|
 |
 |
2010-02-03 |
 |
 |
| Thailand jamin boleh atasi keganasan |
| GENEVA: Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya berkata semalam, kerajaannya akan berupaya menangani keganasan kumpulan pemisah di selatan negara itu menjelang akhir tahun ini. |
| |
Ketika ditanya sama ada beliau yakin kerajaan dapat membawa keamanan pada 2010 di wilayah yang sudah dilanda keganasan sejak lima tahun lalu, Kasit berkata: “Ya, ya, ya. Di bawah pentadbiran kami.”
Beliau berkata kerajaan Thailand kini memberi bantuan kewangan untuk memajukan wilayah itu, selain bekerjasama dengan pasukan keselamatan untuk mewujudkan keamanan.
Pada peringkat antarabangsa, Thailand juga menerima bantuan daripada pelbagai negara termasuk negara Teluk, Malaysia dan Indonesia untuk menangani masalah itu.
“Beberapa pemimpin asing sudah memberitahu penduduk minoriti Islam yang menjadi rakyat Thailand agar menjadi warga negara yang baik. Semua pihak membantu kami untuk membawa keamanan di wilayah selatan. Kami optimis,” katanya kepada wartawan di Geneva.
Lebih 4,100 penduduk Buddha dan Islam terkorban dan beribu-ribu lagi cedera sejak kumpulan pemisah melancarkan pemberontakan di selatan negara itu enam tahun lalu.
Undang-undang darurat dikuatkuasakan pada pertengahan 2005, tetapi kumpulan hak asasi berkata peraturan itu sering disalahgunakan pasukan keselamatan. - AFP
|
| |
| http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Dunia/20100203054532/Article/index_html |
|
|
|